Tuesday, 27 August 2013

PEJABAT SANTAI PALOMA TEAMWORKS

Paloma Teamworks ialah sebuah syarikat yang menganjurkan perlumbaan amal di Amerika Syarikat. Kerana ianya sebuah syarikat yang banyak menganjurkan events secara low budget, pejabat mereka juga haruslah low budget. Mereka menyewa sebuah gudang di California dan menjadikannya bandar pejabat dalam gudang yang cool beans. Bilik pejabat dibina di dalam kontena kargo terpakai dan terdapat kenderaan elektrik yang boleh digunakan pekerja untuk bergerak di dalam pejabat mereka. Cool stuff!

13 korban Ribut Fernand di Mexico

TUXPAN, Mexico - Tanah runtuh yang disebabkan hujan lebat akibat Ribut Tropika Fernand mengorbankan sekurang-kurangnya 13 orang di dalam negeri Veracruz, kata pihak berkuasa kelmarin. Jurucakap pentadbiran negeri, Javier Duarte berkata, sembilan orang maut di bandar Yecuatla, tiga di bandar ini dan seorang lagi di bandar Atzalan. Tanah runtuh membawa batu-batan dan lumpur merosakkan empat rumah di kampung Roca de Oro di Yecuatla dan mengorbankan mangsa yang sedang tidur. "Kami sentiasa berwaspada kerana hujan masih turun," kata Duarte. Pihak berkuasa tempatan mengesahkan sekurang-kurangnya 10 bandar terputus hubungan ekoran laluan terhalang akibat 16 kejadian tanah runtuh. Menurutnya, lebih 400 orang ditempatkan di pusat perlindungan yang disediakan oleh pemerintah. Sementara itu, di kawasan bandar metropolitan Veracruz dan Boca del Rio, para pekerja memulihkan bekalan elektrik yang menjejaskan 40 peratus penduduk di wilayah berkenaan. Pihak berkuasa di sini menasihatkan agar 7.7 juta penduduk di situ tinggal di rumah dan sesi persekolahan turut digantung. Fernand berpusat sekitar 125 kilometer (km) ke barat daya Tuxpan dan bergerak menuju ke arah barat laut dengan kelajuan angin sekitar 15 kilometer sejam.

16 korban banjir besar di Laos

VIENTIANE - Sekurang-kurangnya 16 orang terkorban dan berpuluh-puluh ribu yang lain hilang tempat tinggal di Laos ekoran banjir besar yang disebabkan oleh hujan lebat, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam. Jurucakap PBB di negara itu memberitahu, kemalangan jiwa itu berlaku semasa banjir kilat melanda daerah Beng, di barat laut Laos pada 20 Ogos lalu. Menurut kenyataan tersebut, lebih 115,000 orang terjejas akibat bencana tersebut. Beribu-ribu hektar kawasan tanaman padi musnah sementara banyak haiwan ternakan mati semasa musim hujan yang bermula pada Jun lalu. "Hujan lebat sejak Jun lalu mengakibatkan banjir besar terutama di bahagian utara dan tengah negara ini," kata jurucakap berkenaan. Sejumlah penduduk yang terjejas kini dilapor memerlukan makanan dan bantuan untuk membina semula kediaman mereka yang rosak atau musnah. Kos kerosakan akibat banjir itu dianggarkan lebih AS$17 juta (RM56.6 juta). Laos merupakan sebuah negara miskin yang mempunyai sekitar enam juta penduduk dan ditadbir oleh rejim Komunis.

GRO menangis terlepas tali gantung

ALOR SETAR – Seorang gadis pelayan pelanggan (GRO) warga Thailand menangis selepas Mahkamah Tinggi di sini semalam melepas dan membebaskannya daripada tuduhan mengedar kanabis seberat 12.26 kilogram (kg) pada tahun lalu. Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohd. Zaki Abdul Wahab membuat keputusan itu terhadap tertuduh, Supaporn Phaipong (gambar), 28, selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah dalam kes pendakwaan. Supaporn yang berasal dari Uthai Thani dan bekerja sebagai GRO di ibu negara dituduh mengedar kanabis seberat 12.26 kg di hadapan Platform No. 6, Terminal Bas Shahab Perdana, Lebuh Raya Sultanah Bahiyah di sini pada pukul 8.05 malam, 8 Januari 2012. Gadis itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. Mohd. Zaki dalam penghakimannya berkata, terdapat keraguan dalam keterangan beberapa saksi pendakwaan sama ada dua beg mengandungi dadah itu berada di bahagian bagasi bas atau bahagian penumpang.

BELI KERETA GUNA WANG KECIL

ZHENGZHOU - Seorang jurujual di China terkejut apabila seorang ahli perniagaan membayar tunai kereta yang dibelinya dengan menggunakan sejumlah wang kecil, lapor akhbar Daily Mail semalam. Lelaki itu yang dikenali sebagai Zhang membuat bayaran berjumlah £16,000 (RM82,575) menggunakan 10 buah kotak berisi wang kertas satu yuan (RM0.54) dan duit syiling. Dia yang dikenali sebagai Zhang menghantar lebih 10 buah kotak kepingan wang kertas dan syiling. Urusniaga berkenaan berlaku di sebuah pusat automotif di bandar ini, dalam wilayah Henan. Kesemua wang itu kemudian dibawa ke sebuah bank yang mana dua orang kerani diperlukan untuk mengiranya. Masa selama beberapa jam diperlukan untuk mengira sejumlah 13,000 yuan (RM7,071) wang kecil itu. - Agensi

AS sedia serang Syria pada bila-bila masa

BANDAR SERI BEGAWAN - Tentera Amerika Syarikat (AS) akan bertindak serta-merta jika Presiden Barack Obama memberi arahan untuk melancarkan serangan ke atas Syria, kata Setiausaha Pertahanan AS, Chuck Hagel semalam. Persediaan itu dibuat selepas rejim Presiden Bashar Al-Assad didakwa menggunakan senjata kimia baru-baru ini. "Kami telah menggerakkan segala aset tentera untuk memenuhi dan mematuhi apa sahaja pilihan yang ingin diambil oleh Presiden AS. "Kami bersedia untuk bertindak," katanya ketika diwawancara oleh stesen televisyen BBC semasa melakukan lawatan ke Brunei. Komen Hagel hadir sehari selepas Setiausaha Negara AS, John Kerry mengeluarkan kenyataan bahawa tindakan ketenteraan mungkin diambil ke atas Syria. Kerry menyatakan bahawa Obama percaya bahawa rejim Presiden Bashar Al-Assad perlu bertanggungjawab kerana menggunakan senjata kimia. Dalam pada itu, Hagel berkata, persediaan ketenteraan itu susulan maklumat oleh perisikan AS tentang situasi di Syria. Namun, beliau menyatakan, AS dan sekutunya termasuk Britain dan Perancis percaya bahawa serangan itu telah melanggar hak kemanusiaan antarabangsa . - Reuters

MALAYSIA TERPAKSA BERMANDI PELUH

MALAYSIA mengharungi detik cemas sebelum bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menewaskan Jepun 4-2 pada aksi terakhir Kumpulan A Kejohanan Hoki Piala Asia 2013 di Stadium Sultan Azlan Shah, Ipoh malam tadi. Kejayaan itu membolehkan Malaysia menempah pertemuan dengan juara Kumpulan B, India pada aksi separuh akhir yang dijadualkan berlangsung Jumaat ini. Jurulatih Malaysia, Paul Revington jelas sekali gembira dengan semangat juang yang dipamerkan anak-anak buahnya malam tadi, sambil menyifatkan ia sesuatu yang positif bagi pertemuan dengan India nanti. "Kita berjaya mengekalkan fokus serta ketenangan meskipun ketinggalan dan inilah yang berjaya memberi kejayaan kepada kita dalam pertemuan ini. "Bagi saingan separuh akhir nanti, kami sudah mempunyai perancangan untuk menewaskan India kerana sasaran yang diletakkan kepada kami ialah menjuarai gelaran Asia buat kali pertama," jelas Revington semalam. Sementara itu, Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Tengku Abdullah Sultan Azlan Shah berkata: "Semangat juang yang dipamerkan pemain negara ketika menentang Jepun sangat menakjubkan. "Namun, kita tidak boleh beraksi sebegini lagi pada separuh akhir nanti. Kita juga tidak boleh melepaskan gol mudah sekiranya mahu menjuarai Piala Asia buat kali pertama." Tampil dengan misi memburu kemenangan, Malaysia seolah-olah sengaja membiarkan Jepun menjaringkan gol pendahuluan. Jepun hanya mengambil masa lapan minit untuk membocori gawang Malaysia sebanyak dua kali. Jepun memperoleh gol pertama pada minit keenam menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Toshiro Tachibana . Selang dua minit, gawang Malaysia bocor lagi apabila tolakan deras Kei Kawakami gagal ditangkis oleh penjaga gol, S. Kumar. Selepas ketinggalan dua gol, Malaysia kembali bangkit dan akhirnya, pukulan sudut penalti oleh Muhammad Razie Abd. Rahim pada minit ke-15 berjaya menewaskan penjaga gol Jepun, Akira Morishima. Penyerang lincah, Muhammad Firhan Ashaari menyamakan kedudukan melalui tolakan deras pada minit ke-29. Malaysia menambah dua lagi gol menerusi ayam tambatan, Faizal Saari pada minit ke-60 dan Azlan Misron (66). Sementara itu, juara tiga kali, Pakistan muncul juara Kumpulan A setelah membelasah Taiwan 13-0.